Ahad, 11 Mei 2014

Buskers


Buskers berasal daripada bahasa Sepanyol buscar yang bermaksud carian lebih atau mencari kemasyhuran dan kekayaan.

Perkataan busking kali pertama digunakan dalam bahasa Inggeris pada pertengahan 1860-an di Britain.

Sehingga abad ke-20, kelompok buskers ini dikenali sebagai pujangga di Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa tanah jajahan Britain.

Jenis alat muzik dan peralatan yang digunakan dalam persembahan busking adalah seperti gitar, drum, tamarin, harmonika, akordion, seruling, ukulele, amplifier untuk menguatkan suara, potter ataupun kotak duit sebagai bekas menerima sumbangan daripada orang ramai yang menyaksikan persembahan busking tersebut dan buku nota muzik.

Antara artis tanah air dan luar negara yang pernah terbabit dengan seniman jalanan atau buskers ini seperti M. Nasir, Radhi OAG, Amir Jahari, Awi Rafael, Ramli Sarip, Pyan Habib, Khalid Salleh, Meor, Tegar, Justin Bieber, Broery Marantika, Paul McCartney dan Edward McMichael.

sumber: BH

Rabu, 9 April 2014

Orkes Nirwana


Orkes Nirwana Johor Bahru atau dikenali juga sebagai Orkes Nirwana ditubuhkan pada 25 Mac 1965 di Jalan Temenggung Ahmad, Johor Bahru dengan anggota asal seramai 12 orang.

Anggota Orkes Nirwana yang tinggal kekal sehingga hari ini ialah Datuk A. Rahman Hassan (gitar utama dan vokalis), E. Elias (bass), B. Badron (gitar) dan K. Tajuddin (dram).

Penyanyi wanita kumpulan ini iaitu Datin Azizah Mohamad yang merupakan isteri kepada Datuk A. Rahman Hassan meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat penyakit kanser pangkal rahim.

Pada awal penubuhan Orkes Nirwana, mereka aktif menjayakan persembahan pentas pada majlis keraian di sekitar Johor Bahru dan kemudian penyanyi dan komposer M. Osman mempelawa mereka merakam album EP yang ketika itu dalam bentuk piring hitam.

Album EP pertama mereka mengandungi empat lagu - dua lagu ciptaan M. Osman, Kisah di Persimpangan dan Mimpiku, manakala dua lagi lagu ciptaan Rahman sendiri iaitu Tak Mengapa serta Harapanku.


Lagu Tak Mengapa yang dipetik daripada EP pertama dianggap sebagai tuah bagi Orkes Nirwana kerana lagu terbabit terus mendapat sambutan hingga kini kerana ia lagu evergreen.

Malah, lagu itu juga dirakam semula tiga kali iaitu pada 1965, 1986 dan 2006.

Begitu juga penyanyi angkatan baru yang terus merakam semula lagu malar segar ini seperti Datuk Siti Nurhaliza, Kristal dan VE.

Sepanjang penubuhan, kumpulan ini mengeluarkan lebih kurang 10 album EP yang memuatkan empat lagu dan antara lagu popular mereka yang lain termasuklah Perpaduan Hidup, Semoga Berjaya, Kerana Fitnah dan Hanya Untuk Mu.

Orkes Nirwana dicatat di dalam Malaysia Book of Records sebagai Kumpulan Pop Yeh Yeh Paling Lama Bertahan pada tahun 2005.

Sumber: akhbar BH

Rabu, 19 Februari 2014

Trivia Rock n Roll vol 1

Fats Domino

Fats Domino ialah nama pentas kepada seorang penyanyi RnB Amerika Syarikat. Nama sebenarnya ialah Antoine "Fats" Domino Jr. dilahirkan pada 26 Februari 1928 di New Orleans, Lousiana, Amerika Syarikat. Selain daripada menyanyi beliau juga bermain piano dan mencipta lagu. Fats Domino telah menerima lima piring hitam emas sebelum tahun 1955. Fats Domino juga pernah memenangi 35 American Top 40 dan mempunyai stail muzik berdasarkan muzik rnb tradisional yang menggabungkan instrumen seperti bass, piano, gitar elektrik, drum dan saksofon.


The Platters

Nama kumpulan The Platters diambil sempena slanga Amerika Syarikat yang merujuk kepada piring hitam gramophone.


Eddie Cochran

Eddie Cochran ialah seorang penyanyi rock 'n' roll warga Amerika Syarikat yang terbunuh dalam satu kemalangan kereta di Chippenham, Wiltshire, England sewaktu menaiki teksi. Cochran meninggal dunia sejurus selepas mengadakan persembahan di panggung Bristol's Hippodrome pada bulan April 1960. Cochran meninggal dunia sewaktu berusia 21 tahun.



Seorang lagi penyanyi Amerika Syarikat turut terlibat di dalam kemalangan yang membunuh Eddie Cochran. Beliau ialah Gene Vincent. Dalam kemalangan tersebut, Vincent telah patah tulang rusuk, tulang selangka dan juga cedera pada kakinya. Vincent bagaimanapun selamat dan meneruskan kariernya sebagai penyanyi sehingga akhir hayatnya pada 12 Oktober 1971 akibat penyakit ulser perut.



The Crazy World of Arthur Brown ialah nama sebuah kumpulan rock yang popular dengan lagu mereka berjudul Fire pada tahun 1968. Kumpulan ini dianggotai oleh Arthur Brown, Vincent Crane, Drachen Theaker dan Nick Greenwood. Antara gimik yang sering dilakukan oleh kumpulan ini ialah dengan memakai topeng terbakar mereka setiap kali mengadakan persembahan. Gimik ini telah mempengaruhi ramai penyanyi rock selepas itu seperti Alice Cooper, Kiss, Marilyn Manson dan Wes Borland, gitaris kumpulan Limp Bizkit.


Leona Lewis

Bleeding Love ialah nama sebuah lagu yang menjuarai carta pada tahun 2008. Lagu ini dinyanyikan oleh Leona Lewis. Lagu ini dicipta dan ditulis oleh Jesse McCartney dan Ryan Tedder.



Phil Spector ialah seorang penerbit, pencipta lagu dan orang yang pertama memperkenalkan teknik Wall of Sound pada tahun 1960-an. Beliau pernah menerbitkan album kumpulan The Beatles iaitu Let It Be.



Lagu dendangan Whitney Houston berjudul I Will Always Love You pernah dijadikan runut bunyi untuk filem The Bodyguard pada tahun 1992. Filem itu dibintangi oleh Whitney Houston sendiri di samping Kevin Costner dan diarahkan oleh Mick Jackson.



Lagu One Sweet Day dendangan Mariah Carey pada tahun 1995 telah menampilkan kumpulan rnb Boyz II Men.



Antara lagu-lagu Glen Campbell yang popular ialah Galvestone dan Wichita Lineman.



Setelah tersimpan hampir 30 tahun, akhirnya album Smile daripada kumpulan The Beach Boys dilancarkan pada tahun 2004.



Judul lagu kumpulan Pussycat Dolls yang menjuarai carta pada tahun 2005 ialah Don't Cha.


Led Zeppelin

Kumpulan rock British, Led Zeppelin telah meraih jualan sebanyak seratus juta album di Amerika Syarikat dan single mereka berjudul Whole Lotta Love merupakan yang paling popular pada tahun 1969.


Metallica
...And Justice for All dan Master of Puppets ialah judul album untuk kumpulan heavy metal Metallica.


Dean Martin

Sebelum menjadi pelakon dan penyanyi terkenal pada era 50-an dan 60-an, Dean Martin ialah seorang peninju. Dean Martin menjadi terkenal apabila bergabung dengan pelakon komedi Jerry Lewis di dalam sebuah filem. Antara lagu Dean Martin yang popular ialah Sway yang pernah dinyanyikan semula oleh Michael Bublé.


Kurt Cobain

Pada tahun 2008, mendiang Kurt Cobain iaitu vokalis kumpulan Nirvana telah mengatasi Elvis Presley sebagai artis yang telah meninggal dunia tetapi meraih pendapatan paling tinggi dalam dunia hiburan.

Isnin, 17 Februari 2014

Anugerah Grammy buat Black Sabbath

Black Sabbath

Kumpulan heavy metal Black Sabbath telah menerima anugerah di dalam Grammy Awards ke-56 yang berlangsung pada 26 Januari 2014.

Mereka menerima anugerah untuk kategori Best Metal Performance menewaskan beberapa pencalonan yang lain iaitu Anthrax, Dream Theater, Killswitch Engage dan Volbeat ft King Diamond.

Bagaimanapun, kumpulan Black Sabbath tidak hadir pada majlis tersebut dan penyanyi 80'an Cyndi Lauper telah mewakili mereka untuk menerima anugerah tersebut.

Imagine Dragons

Bagi kategori Best Rock Performance pula, kumpulan rock Imagine Dragons telah menerima anugerah tersebut menewaskan empat pencalonan yang lain iaitu Alabama Shakes, Queens of the Stone Age, Jack White dan dua rockers veteran iaitu David Bowie dan kumpulan Led Zeppelin.

Paul McCartney, Dave Grohl, Krist Novoselic dan Pat Smear

Bagi kategori Best Rock Song pula, kolaborasi antara Paul McCartney, Dave Grohl, Krist Novoselic dan Pat Smear telah memenangi kategori ini dengan lagu mereka Cut Me Some Slack. Mereka telah menewaskan empat pencalonan lain iaitu Gary Clark, Jr. (Ain't Messin 'Round'), The Rolling Stones (Doom and Gloom), Black Sabbath (God is Dead?) dan Muse (Panic Station).

Led Zeppelin

Kumpulan rock veteran, Led Zepellin memenangi anugerah Best Rock Album untuk album mereka berjudul Celebration Day menewaskan Black Sabbath (13), David Bowie (The Next Day), Kings of Leon (Mechanical Bull), Queens of the Stone Age (...Like Clockwork) dan Neil Young and Crazy Horse (Psychedelic Pill).

Vampire Weekend

Kumpulan alternative rock Vampire Weekend pula memenangi anugerah Best Alternative Music Album dengan album mereka Modern Vampires of the City menewaskan Neko Case (The Worse Things Get, The Harder I Fight, The Harder I Fight, The More I Love You), The National (Trouble Will Find Me), Nine Inch Nails (Hesitation Marks) dan Tame Impala (Lonerism).

Jumaat, 14 Februari 2014

Penjenayah paling kejam, ahli korporat


Minggu ini, umpama melepaskan geram, aku telah menonton dua buah filem berturut-turut (back to back).

Filem pertama merupakan sebuah filem animasi iaitu The Lego Movie.

Bagi mereka yang pernah mengikuti siri video animasi Lego arahan Michael Hickox di YouTube pastinya tidak akan merasa janggal dengan filem ini, cuma agak teruja apabila melihatnya ditayangkan di layar besar.

Apa yang membezakan antara filem The Lego Movie dan video-video animasi Michael Hickox adalah filem The Lego Movie merupakan sebuah filem animasi komputer manakala video-video Michael Hickox dibikin menggunakan teknologi stop-motion.

Aku tidak mahu menceritakan sangat tentang jalan cerita filem ini kerana ia ada persamaan sedikit dengan jalan cerita The Matrix iaitu suatu kuasa baru (new world order) yang bertujuan untuk mengawal dunia melalui media dan rutin harian.

Menariknya, kisah tentang bagaimana pendominasian dunia oleh sektor korporat di dalam The Lego Movie ini seakan-akan ada hubungkaitnya dengan filem kedua yang aku tonton.

The Lego Movie juga seolah-olah cuba memberitahu kita bahawa mainan yang direka itu sememangnya khusus bagi kanak-kanak, untuk membina daya imaginasi mereka dan tidak seharusnya ada 'campur tangan' golongan dewasa melainkan untuk membimbing mereka mengembangkan pemikiran mereka agar tidak terpesong dan terkongkong.

Setelah selesai menonton The Lego Movie aku ke panggung sebelah untuk menonton filem RoboCop. Seperti yang aku nyatakan di atas, seakan-akan ada persamaan pada plot filem The Lego Movie dan RoboCop, iaitu pendominasian dunia melalui sektor korporat.


Tidak dinafikan bahawa sektor korporat pada zaman sekarang memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran negara, bukan lagi ahli politik. Malahan ahli-ahli politik juga kebanyakannya sekarang berasal dari arena perniagaan dan korporat, maka soal-soal pentadbiran negara juga dibuat berdasarkan bagaimana menguruskan sesebuah syarikat korporat.

Tema ini memang telah lama diangkat di dalam filem-filem RoboCop yang terdahulu iaitu RoboCop asal pada tahun 80'an dahulu. Apabila filem RoboCop dibuat pembikinan semula, aku sebenarnya tiada bantahan kerana memang wajar untuk RoboCop dibikin semula, sedangkan filem-filem aksi superhero yang lain juga telah beberapa kali dibikin semula.

Hasilnya, RoboCop yang baharu ini bukan lagi hanya memaparkan aksi-aksi ekstrem dan dunia futuristik Detroit sebaliknya lebih banyak bermain drama dan emosi. Tambahan pula filem RoboCop kali ini dibintangi oleh beberapa pelakon handalan seperti Michael Keaton, Gary Oldman, Jackie Earl Haley dan Samuel L. Jackson.

Boleh dikatakan hasil kerja pengarah daripada Brazil iaitu José Padilha telah berjaya meletakkan RoboCop dalam kategorinya tersendiri. RoboCop yang baharu juga dilihat lebih 'manusia' daripada RoboCop yang dipaparkan dalam filem-filem terdahulu.

Di dalam filem RoboCop versi baharu ini, ia seolah-olah mahu membawa penonton berfikir, siapakah yang lebih kejam sebenarnya, adakah pihak polis yang korup, pihak penjenayah ataupun ahli-ahli korporat yang lebih mementingkan kewangan daripada nilai-nilai kemanusiaan.

RoboCop juga sarat dengan pengaruh filem Batman (mungkin perasaan aku sahaja kerana terdapat dua orang pelakon filem Batman di sini iaitu Michael Keaton yang pernah membawakan watak Batman dan Gary Oldman yang pernah membawa watak James Gordon dalam trilogi The Dark Knight).

Michael Keaton berjaya membawa watak seorang antagonis meskipun pada awalnya tidak menunjukkan sisi negatif dirinya, hanya pada pengakhiran cerita baharulah beliau yang membawakan watak tokoh korporat Raymond Sellars menunjukkan belangnya.

Samuel L. Jackson juga meskipun membawakan watak sebagai seorang pengacara TV bernama Pat Novak namun tetap meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penonton. Beliau berjaya membuat aku meluat dengan sikapnya sebagai seorang pengacara TV yang bias dengan OCP ataupun Syarikat Omnicorp, kemungkinan syarikat TV ini merupakan anak syarikat OCP.

Akhir sekali, kedua-dua filem ini memang berbaloi untuk ditonton dan merupakan pembukaan yang baik untuk tahun 2014.